BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kemudahan undi pos kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Beliau berkata, sekiranya mereka boleh mengundi secara pos ia tidak menimbulkan isu mereka tidak dapat balik bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.
“Saya kena periksa dulu kerana saya difahamkan mereka boleh mengundi secara pos, saya difahamkan kalau undi pos mereka tidak perlu balik.
“Tetapi sebenarnya dulu mereka kena balik mengundi, saya tahu pengundi Bera ramai kerja Singapura dulu mereka balik,”katanya dalam rasmi sidang akhbar pada majlis kenduri kampung bersama penduduk Kampung Bohor Baru di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura terutama mereka yang berasal dari negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara tanah air dijangka tidak pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijadual pada 19 November ini.
Antara alasan yang diberikan adalah kekangan kerja seperti tidak dapat cuti selain faktor kewangan serta tempoh masa melibatkan perjalanan yang jauh dengan cuti singkat hanya sehari.
Berdasarkan rekod terdapat kira-kira 300,000 rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura dengan sebahagian mereka adalah rakyat Johor.
Menurut Ismail Sabri sepatutnya pengundi yang berasal dari kawasan sempadan negara tetapi bekerja di Singapura dan Brunei boleh balik mengundi melalui pengangkutan darat. – KOSMO! ONLINE