GEORGE TOWN – Tindakan beberapa ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di Teluk Kumbar di sini mengumumkan keluar parti Ahad lalu dianggap sebagai sejarah buat parti keramat itu di Balik Pulau.
Bekas ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, masalah peribadi melibatkan dua pihak kemungkinan dipercayai menjadi punca keputusan itu diambil individu berkenaan.
Bagaimanapun menurut Hilmi, sepatutnya kedua-dua pihak terbabit perlu mendapatkan persepakatan dengan menyelesaikannya secara baik.
“Tindakan bubar cawangan tidak patut berlaku ketika ini terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ini kerana, perjuangan kita masih belum selesai.
“Ini (umum keluar parti) tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO di Balik Pulau. Saya kesal dengan perkara ini.
“Namun, saya yakin tindakan serupa tidak akan ‘berjangkit’ di cawangan-cawangan lain dalam Parlimen Balik Pulau,” katanya di sini.
Beliau mengulas mengenai tindakan kira-kira 100 ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di sini mengumumkan keluar parti serta-merta sekali gus membubarkan cawangan parti tersebut.
Difahamkan, individu berkenaan turut menyatakan hasrat untuk beralih sokongan kepada calon bebas Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang diumum bertanding pada PRU ini.
“Masing-masing calon nak menang. Macam-macam cara depa (mereka) lakukan. Jadi, mereka cari jalan untuk mendapatkan sokongan.
“Kita tidak boleh halang mereka (calon), masing-masing guna kebijaksanaan sendiri,” tambahnya.
Pada PRU15 ini, Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertembungan enam penjuru terdiri penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH) Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (PN), Ahmad Fazli Mohammad ( GTA), Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas) dan Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee (Bebas). – KOSMO! ONLINE