PETALING JAYA – Pelakon berbakat besar Nabila Huda berkongsi pengalaman pertamanya melakukan aktiviti menyelam skuba pada waktu malam sewaktu bercuti di Pulau Maldives baru-baru ini.
Lebih membuatkan pelakon berusia 37 tahun itu teruja apabila dia didatangi seekor ikan pari bersaiz gergasi ketika melakukan aktiviti tersebut.
“Ini merupakan pengalaman kedua saya (skuba) selepas pulau Raja Ampat (Barat Papua, Indonesia).
“Apa yang paling penting, ini merupakan pengalaman pertama saya menyelam pada waktu malam!” tulisnya dalam Instagram.
Meskipun takut kerana melakukan aktiviti tersebut pada waktu malam, namun Nabila atau mesra disapa Abil berasa sangat teruja kerana buat pertama kali dapat melihat dengan dekat seekor ikan pari gergasi berenang menghampirinya.
“Menyelam bersama seekor ikan pari. Pengalaman yang cukup indah,” katanya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelakon filem Munafik itu berkongsi video merakamkan aksi ikan pari gergasi atau Mantas itu berenang dengan pantas melintasinya.
Perkongsian menarik namun menggerunkan itu mendapat perhatian peminatnya apabila rata-rata meninggalkan komen memuji keberanian Abil menyelam di laut dalam pada waktu malam dan berdepan dengan ikan pari gergasi.
“Tabik hormat! Saya sendiri tidak akan berani untuk lakukannya,” kata pelakon Raja Ilya.
“Seronoknya. Tapi takut nak menyelam. Berenang pun tak pandai,” kata seorang peminatnya.
“Berani betul Abil. Terbaiklah!” puji seorang netizen. – KOSMO! ONLINE