PETALING JAYA – Sikap ‘atas pagar’ pengundi muda membuktikan kematangan golongan ini dalam memilih kerajaan yang layak memerintah.
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia juga secara tidak langsung menunjukkan pengundi muda tidak taksub kepada mana-mana parti politik.
“Ini adalah kekuatan bagi pengundi muda kerana mereka merupakan penentu dan ‘kunci’ Putrajaya bergantung kepada mereka.
“Mereka mahu menilai kebolehan parti, paltform, cadangan, dasar dan solusi untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka,” katanya selepas majlis pelancaran COOX di Kampus Taylor’s di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan kebanyakan pengundi muda masih bersikap ‘atas pagar’ untuk memilih calon masing-masing.
Dalam masa sama, calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disaran supaya lebih bijak ‘menampilkan’ untuk menarik perhatian golongan ini.
Syed Saddiq berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara positif dan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan. – KOSMO! ONLINE