KAJANG – Penyamun tergamak hayun parang pada wanita yang bergelut menyelamatkan barang peribadinya, dua suspek lelaki kini diburu polis berikutan satu kes kejadian samun yang berlaku di sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan memakai topi keledar bersenjatakan parang telah masuk dan merompak staf dan pelanggan di dalam klinik tersebut.
“Suspek telah melarikan sebuah Macbook, dua buah telefon bimbit, wang tunai lebih kurang RM2,000 dan seutas rantai emas.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa yang berada di dalam premis tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Video kejadian samun di klinik berkenaan tular sejak semalam yang memaparkan seorang wanita bergelut dengan dua penyamun untuk menyelamatkan barang peribadinya.
Dalam video sama, beberapa kakitangan dan kanak-kanak dilihat terkejut dengan kejadian tersebut.
Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
“Orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh maklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan.
“Boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE