LANGKAWI – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Armishah Siraj membuat laporan polis berikutan tindakan pihak tertentu menyebarkan penganjuran satu program palsu menggunakan namanya.
Menurutnya, poster program tersebut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.
“Ada pihak yang menyebarkan poster program palsu kononnya saya akan mengisi minyak motor secara percuma kepada penduduk di sini.
“Ia akan menyebabkan saya dikatakan sebagai menipu, sedangkan program seperti itu tidak dibenarkan. Saya tidak mahu tuduh siapa-siapa, tetapi ini adalah satu mainan politik yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui pada program minum pagi bersama pemandu teksi di Pekan Rabu, di sini hari ini.
Jelasnya, poster itu memaparkan satu program mengisi minyak motor di sebuah stesen minyak di Kuah didakwa anjurannya.
Katanya, sekiranya program itu dianjurkan olehnya, pasti akan ada pengumuman di laman sosial rasmi miliknya serta BN Langkawi.
Sementara itu, Armishah memberitahu, beliau akan memfokuskan pertemuan dengan penduduk dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – KOSMO! ONLINE