Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam persekitaran yang tidak selesa.
Beliau sedar banyak cabaran yang perlu dihadapi memandangkan bayangan krisis politik, ekonomi dan sosial belum dileraikan. Kebuntuan politik masih mendominasi.
Ismail Sabri memimpin mengikut cara beliau dan yang penting adalah impak keputusan gaya kepimpinan ke atas kerajaan dan rakyat.
Ismail Sabri dianggap mempamerkan gaya kepimpinan terbuka. Yang mendasari gaya kepimpinan terbuka kerajaan Ismail Sabri adalah rundingan, akomodasi dan partisipasi.
Ketiga-tiga gaya kepimpinan tersebut wujud apabila melibatkan rakyat dalam proses kepimpinannya.
Sebagai pemimpin politik di bawah nama Perdana Menteri ‘Keluarga Malaysia’, Ismail Sabri cuba memobilisasi sokongan orang ramai dengan menggunakan pendekatan ‘mengurus kepelbagaian’.
Gaya kepimpinan ini sebenarnya penting ketika negara memerlukan komitmen ke atas ‘merakyatkan kepimpinan’ untuk mengatasi perbezaan dan meraikan persamaan agar masing-masing menunjukkan rasa ‘perkongsian’, ‘kepunyaan’, ‘sederhana’ dan ‘tasamuh’ untuk mengatasi permasalahan negara bersama.
Kestabilan perlu diperbaiki pada waktu itu kerana desakan datang dari luar dan dalam parti. Ini kerana beliau mewarisi kerajaan yang tidak menentu disebabkan penjajaran mandat dalam kalangan wakil rakyat.
Bucu-bucu pemisah ingin dirobohkan dan dipulihkan benteng-benteng kekuatan atas gagasan ‘Keluarga Malaysia’.
Mengurus mediasi, rundingan, akomodasi, berpartisipasi dan konsensus demi menebus kestabilan negara dianggap antara cabaran cara kepimpinan beliau. Ia dilakukan secara tersusun dan berkesan agar tidak mendatangkan impak berterusan sehingga sukar melaksanakan agenda besar untuk tanah air.
Hatta, urusan parti dihadapi selaku Naib Presiden dengan memberi keyakinan di Perhimpunan Khas UMNO 2022 bahawa UMNO adalah partinya dan jaminan perbincangan mengenai Pilihan Raya Umum dengan barisan tertinggi parti selepas desas-desus wujud kem Putrajaya dan WTC (Pusat Dagangan Dunia) untuk menghindar persepsi ke atas kepimpinan beliau.
Intra-parti masih menimbulkan dilema dan persefahaman dengan pembangkang dipersoalkan, namun nada yang tenang dengan jelas menyatakan, “Saya orang parti; darah saya darah UMNO.”
Penggulungan selaku Naib Presiden memberi nafas baharu. Julung kali seorang Perdana Menteri membuat penggulungan sebelum Timbalan Presiden dan Presiden. Menarik untuk melihat beliau menyampaikan pencapaiannya untuk menjawab persoalan perwakilan agar sebarang keraguan tidak menjadi polemik berterusan.
Antaranya, isu kos sara hidup, bahasa Melayu, pendidikan, Covid-19 dan fasa peralihan ke endemik dan Pilihan Raya Umum ke-15.
Pengumuman gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei lalu merupakan kelulusan yang tertanggung sekian lama. Keberanian untuk memperkenalkannya ketika rakyat bergelut dengan sara hidup mesti diberikan pengiktirafan sewajarnya.
Ini seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa memerlukan masa untuk memastikan dari fasa pemahaman boleh ditukar kepada fasa penerapan dan seterusnya amalan. Ini juga menjadi agenda beliau.
Apabila beralih ke fasa endemik, maka cabarannya berbeza untuk meneruskan dos vaksin, tetapi waktu sama memantapkan pengukuhan dalam negara dengan merancakkan semula ekonomi tanah air termasuk pelancongan dan jihad inflasi apabila rakyat berdepan kenaikan harga barang mendadak. Ini memerlukan sistem penyampaian awam yang berakomodasi ke atas rakyat.
Peruntukan tambahan RM1 juta untuk membantu aktiviti persatuan belia, inisiatif pemilikan perumahan Keluarga Malaysia, dana untuk peneroka Felda, blueprint perumahan 3.0 Mindef, pelancaran Malaysia
Digital atau Pemangkin, peruntukan RM100 juta untuk Tabung Agromakanan, Bantuan Keluarga Malaysia, membatalkan kuota import barangan makanan luar negara, penubuhan Majlis Wanita Negara, pewujudan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual, peruntukan RM4.8 bilion di bawah Jamin Kerja untuk menurunkan kadar pengangguran, sinergi kerajaan persekutuan dan negeri bagi memperkasakan sekuriti makanan negara dan ketegasan dalam menangani isu bekalan makanan merupakan antara inisiatif dan intervensi yang dilakukan di bawah usaha penyaluran sistem penyampaian yang lebih baik daripada sebelumnya.
Ia penting untuk membaik pulih kestabilan dalam negara dan membina kepercayaan ke atas struktur serta sistem sedia ada.
Naratif keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan kesihatan diselaraskan dengan ilmu hukum menjadi asas kepada penyampaian gaya kepimpinan Ismail. Kesemua ini dilengkapi dengan perwatakan dan sikap bertanggungjawab ke atas pembudayaan dan identiti nasional termasuk kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, komunikasi dan perhubungan rasmi.
Kerangka Keluarga Malaysia memberi takrifan ke atas kebolehupayaan mencapai hasrat ini berpayungkan kepada keterangkuman, kesyukuran dan kebersamaan.
Yang jelas, dalam pentadbiran Ismail sehingga hari ini, nilai perwatakan, kandungan komprehensif dan komunikasi serta kompetensi hasilnya memperlihat ada kesinambungan tetapi pendekatannya berbeza kerana refleksi dari perubahan persekitaran politik, ekonomi dan sosial. Kesemua ini ditunjangi oleh gaya proses berpartisipasi, perundingan, akomodasi dan konsensus beliau.
Asas kepimpinan politik Malaysia adalah faktor demografi, geografi dan ideologi. Di bawah Ismail Sabri, beliau cuba menyesuaikan pendekatan sendiri dalam menentukan hala tuju negara di bawah gagasan Keluarga Malaysia.
Tahap awal kepimpinan Ismail Sabri menunjukkan adanya reformasi berstruktur termasuk sistem penyampaian awam dan perundangan. Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian di bawah gagasan Keluarga Malaysia menjadi formula tawaran baharu Ismail.
Harapan kini adalah ia menjadi perkakas kepada usaha pengembangan dan memperkukuhkan serta mensejahterakan anggota masyarakat dengan komunikasi dan paparan kandungan yang komprehensif. Begitu juga untuk terus menjadi faktor penyatuan melalui tindakan dan keputusan yang ‘merakyatkan kepimpinan’.
Profesor Dr. Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.