PETALING JAYA – Agenda pendigitalan pendidikan akan dilakukan secara besar-besaran, termasuklah Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks jika majoriti undian memihak kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan memperkenalkan inisiatif itu yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan laptop atau komputer riba.
“Untuk itu, BN akan memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100 peratus liputan internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook BN.
Sementara itu, di peringat pengajian tinggi, BN akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40 selain menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus, dan 50 peratus lagi secara dalam talian atau jarak jauh.
“Bukan itu sahaja, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan ‘internship’ (latihan industri) akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE