PETALING JAYA – Syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), Firefly melakukan penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda (BTJ), Banda Aceh menggunakan pesawat Boeing 737-800 semalam.
Firefly akan memulakan perkhidmatan penerbangan terus bagi laluan PEN-BTJ, dan juga sebaliknya sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Jumaat, sebelum frekuensi penerbangan ditingkatkan kepada empat kali seminggu pada Disember depan.
Sebelum pandemik, Firefly telah mengoperasikan laluan sama menggunakan pesawat ATR 72-500.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philip See berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan rangkaian syarikat di seluruh ASEAN dan laluan Pulau Pinang-Banda Aceh dijangka menyaksikan kemasukan pelancong yang tinggi untuk tujuan percutian dan perubatan.
“Kami berusaha membawa kemudahan kepada penduduk Banda Aceh dan Pulau Pinang bagi memudahkan mereka melawat keluarga dan rakan-rakan, mendapatkan rawatan perubatan, meneroka budaya dan warisan tempatan serta untuk tujuan pendidikan.
“Langkah ini juga akan meningkatkan kehadiran kami dalam pasaran Indonesia, seterusnya menyokong MAG yang terbang ke beberapa destinasi di Indonesia seperti Jakarta, Bali, Surabaya dan ke Yogyakarta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pulau Pinang dikenali sebagai The Pearl of the Orient, terkenal sebagai kota warisan, budaya, makanan dan tempat tarikan serta perkhidmatan lain untuk perniagaan dan pengembara.
Ia termasuk servis pelancongan perubatan, yang mana data Majlis Pelancongan Kesihatan menyebut industri penjagaan kesihatan Pulau Pinang meraih pendapatan kira-kira RM500 juta. -KOSMO! ONLINe