MADRID – Sekurang-kurangnya empat orang maut dan empat lagi cedera parah selepas sebuah kereta merempuh tetamu majlis perkahwinan di Sepanyol berikutan satu pergaduhan.
Pihak polis menahan tiga suspek dan memburu suspek keempat berhubung insiden berdarah itu, kata seorang jurucakap pihak berkuasa.
Pergaduhan tercetus awal pagi di hadapan sebuah restoran yang menganjurkan majlis perkahwinan di Torrejon de Ardoz, kira-kira 25 kilometer ke timur laut Madrid.
Selepas pergaduhan berlaku, sebuah kereta merempuh tetamu majlis sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati empat orang telah meninggal dunia akibat patah tulang,” kata ketua perkhidmatan kecemasan Madrid, Carlos Polo.
Empat mangsa yang parah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, tambahnya.
Kenderaan yang disyaki digunakan dalam serangan itu dikesan 50 kilometer dari lokasi kejadian dan tiga penumpangnya ditahan, kata polis pula.
Media tempatan mengenal pasti ketiga-tiga suspek sebagai seorang bapa dan dua anaknya.
Polis berkata, mereka masih mengesan suspek keempat yang didakwa terlibat sama. – AFP