JAKARTA – Pertumbuhan ekonomi Indonesia memecut pada suku ketiga 2022, dipacu oleh eksport dan penggunaan domestik yang kukuh, demikian menurut data rasmi hari ini, namun kemajuan tersebut masih di bawah paras unjuran.
Ia merupakan peningkatan terbesar untuk Indonesia yang juga ekonomi terbesar Asia Tenggara dalam tempoh lebih setahun. Ekonomi negara itu menokok daripada 5.44 peratus dalam suku kedua kepada 5.72 peratus antara Julai hingga September tahun ini, kata Agensi Statistik Pusat.
Angka tersebut merupakan prestasi lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu apabila Jakarta mengetatkan sekatan susulan ledakan kes Covid-19, berpunca daripada penularan varian Delta.
Indonesia juga menikmati kestabilan ekonomi terhad disebabkan lonjakan harga komoditi selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine Februari lalu. Negara kepulauan itu merupakan pengeksport utama arang batu, petroleum, emas, nikel dan minyak kelapa sawit di samping sebilangan komoditi lain
“Sejak suku keempat 2021, ekonomi kita tumbuh secara konsisten pada kadar lebih lima peratus. Ini menunjukkan pemulihan ekonomi Indonesia adalah berterusan dan semakin kukuh,” kata ketua agensi berkenaan, Margo Yuwono.
Sektor eksport yang merangkumi 25 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) Indonesia, berkembang 21.64 peratus dalam suku ketiga tahun ini, meningkat daripada 19.74 peratus berbanding suku sebelumnya.
Walaupun eksport Indonesia mencatat lonjakan pada tahun ini di samping pemansuhan sekatan Covid-19 dan ketibaan semula pelancong luar, perang Ukraine serta impak pasca pandemik mencetuskan kebimbangan bahawa kemelesetan ekonomi dunia akan berlaku. – AFP