BEIJING – Sepasang bayi kembar Siam di China berjaya dipisahkan dalam satu pembedahan yang berlangsung selama dua jam setengah, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kembar Siam itu dilahirkan berkongsi tali pusat dan bahagian perut. Mereka baru berusia 40 hari ketika menjalani pembedahan di Hospital Kanak-Kanak Universiti Zhejiang di bandar Hangzhou.
Selepas dipisahkan, kedua-dua bayi itu kemudian menjalani pula pembedahan sternum (tulang dada), diafragma dan dinding perut secara serentak di bilik pembedahan yang bersebelahan.
Rakaman pembedahan memaparkan kembar Siam itu masuk ke bilik bedah kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan) sebelum keluar sekitar pukul 11.20 pagi setelah dipisahkan.
Kakitangan perubatan turut merakam detik ketika kembar itu ditanda secara rasmi sebagai dua individu berasingan dengan setiap seorang diberikan tag nama sendiri.
Pengarah Hospital Kanak-Kanak Universiti Zhejiang yang menyelia pembedahan itu berkata, kedua-dua kembar itu berada dalam keadaan stabil buat masa ini.
Kedua-dua mereka mempunyai organ lengkap dan perut masing-masing dilaporkan hampir sama seperti bayi yang normal.
Pasukan perubatan optimis tentang pemulihan kembar itu walaupun mereka masih berada di unit rawatan rapi. Seorang daripada mereka menghidap penyakit jantung kongenital yang kompleks tetapi dijangka berada dalam keadaan baik.
Doktor kemudian menimbang berat kembar itu dan mendapati seorang bayi mempunyai berat 2.2 kilogram (kg) dan seorang lagi 3 kg. – Agensi