fbpx

PRU15: MCA sudah lupakan isu rebut kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong (kanan) pada Majlis Perjumpaan bersama Bomba Sukarela Negeri Kedah di Jalan Pegawai, Alor Setar hari ini - Foto/ SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – MCA menegaskan parti itu sudah melupakan isu perebutan kerusi dengan MIC dan kini fokus berkempen untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong beranggapan semua parti komponen dalam BN kini perlu bersatu hati dan teguh bersama untuk mengekalkan momentum bagi mencipta kemenangan cemerlang.

Jelasnya, isu pertukaran kerusi ketika pilihan raya itu adalah satu perkara biasa dan semua pihak terlibat perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN.

“Perkara itu (pertukaran kerusi) adalah perkara biasa sebelum sesuatu perkara dibuat keputusan atau pun memuktamadkan calon untuk PRU, PRN (pilihan raya negeri) atau PRK (pilihan raya kecil).

“Isu kerusi tertentu sudah pastinya dalam parti itu ada calon yang berlainan nak berebut antara parti masing-masing ada hajat. Ini tak salah pun kalau ada hajat tetapi apabila keputusan dibuat oleh Pengerusi (BN) mengeluarkan watikah bermaksud sudah dimuktamadkan. ‘Move on’ dari saat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program pertemuan bersama Pasukan Bomba Sukarela di Pejabat MCA Alor Setar di sini hari ini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan bahawa parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Batu dan bukannya MIC pada PRU15.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pada hari sama mengesahkan calon parti itu, Datuk Kohilan Pillay akan tetap bertanding di Parlimen Batu.

Kelmarin, pada hari penamaan calon kerusi parlimen Batu mencuri perhatian apabila menyaksikan pertembungan 10 penjuru dengan BN mempertaruhkan Naib Presiden MIC, Kohilan Pillay untuk menentang sembilan calon lain termasuklah empat calon bebas.

Terdapat desas-desus mengatakan komponen MCA di bahagian berkenaan yang kecewa dengan keputusan itu akan bertindak memboikot PRU.

Dalam perkembangan lain, mengulas tentang manifesto daripada pihak lawan, Ka Siong percaya pengundi sudah bijak menilai janji-janji manis yang pernah dibuat mereka sebelum ini.

Katanya, MCA juga terlibat secara langsung dalam merangka manifesto PRU15 BN, yang diyakini realistik dan menyentuh keperluan setiap rakyat Malaysia.

“Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini menunjukkan komitmen BN dalam memberikan tumpuan kepada setiap lapisan masyarakat. Kita perlu diberikan mandat untuk terus memimpin negara dan merealisasikan apa yang sudah kita bentangkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI