PARIS – Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo memulakan saingan di Grand Prix (GP) Perancis di petak pertama selepas muncul pelumba terpantas pada sesi kelayakan di Litar Le Mans malam tadi.
Pelumba kelahiran Perancis itu sebelum ini melaungkan amaran mahu mengulangi pencapaian terbaik selepas muncul juara di GP Barcelona pada bulan lalu, selain turun untuk memburu seberapa banyak mata bagi mempertahankan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan MotoGP ketika ini.
Pelumba berusia 21 tahun itu sebelum ini menegaskan, jentera Yamaha tidak berdepan masalah untuk tampil cemerlang di Litar Le Mans sekali gus yakin dia mampu melakukan kejutan terutama ketika beraksi di laman sendiri.
“Saya sangat teruja beraksi di laman sendiri dan sudah pasti memulakan saingan di petak hadapan saya perkara yang positif bagi saya serta pasukan.
“Terima kasih kepada pasukan yang menyediakan jentera yang cukup baik minggu ini dan saya harap dapat mengekalkan momentum terbaik sekali lagi pada perlumbaan sebenar esok (malam ini) dan meraih kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba Pramac Racing, Jack Miller melakukan kejutan apabila menempah petak kedua meskipun berdepan masalah dalam beberapa perlumbaan sebelum ini manakala pelumba Ducati, Danilo Petrucci ketiga terpantas pada saingan tersebut.
Ketika ini, Quartararo berada di kedudukan teratas carta kejuaraan dengan 108 mata, manakala Morbidelli di kedudukan kelima dengan 77 mata selepas lapan perlumbaan. – AGENSI