BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai insentif yang diumumkan kerajaan kepada golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah lebih praktikal dalam membantu mereka berbanding moratorium.
Tegas beliau, meskipun dilaksanakan moratorium pembayaran tetap perlu dilakukan pada masa hadapan sekali gus tidak menyelesaikan masalah golongan itu
“Saya tidak pernah kata enggan, waktu perkara ini dibangkitkan dahulu saya minta kementerian kewangan melihat perkara ini sama ada boleh laksanakan atau tidak, saya tidak pernah kata menolak tetapi kementerian kewangan mengkaji perkara ini.
“Tetapi yang pentingnya adalah dalam Bajet 2023 perkara melibatkan pengusaha kecil dan sederhana diberi perhatian sebagai contoh geran percuma one off RM1,000 kepada setiap peniaga kecil termasuk pemandu teksi turut diberi ‘One Off’,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Kenduri Kampung Bersama Komuniti Felda Sebertak di Dewan Orang Ramai Felda Sebertak di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beliau enggan memberikan moratorium kepada PMKS.
Menurut Ismail Sabri kerajaan sentiasa mengambil berat PMKS dan membantu mereka yang menyaksikan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan bantuan.
“Begitu juga dengan dana untuk pinjaman dan bagi memulakan perniagaan dan juga menambah modal perniagaan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), di bawah Perbadananan Usahawan Negara Berhad (PUNB) di bawah Agrobank, di bawah SME bank ini juga disediakan kerajaan melalui bajet.
“Maknanya bukan setakat moratorium , moratorium pinjaman itu belum berbayar dan ditangguhkan bayaran, bayaran tetap ada jadi tidak menyelesaikan masalah dan kita ini membantu mereka mengembangkan perniagaan, yang tidak ada modal kita beri pinjaman baharu untuk mereka,”ujarnya.-KOSMO ONLINE