BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bajet 2023 yang di bentang kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik untuk rakyat sehingga diciplak oleh Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, meskipun pemimpin PN memberi pelbagai komen negatif kepada kerajaan tetapi hakikatnya apabila kerajaan membentangkan bajet mereka ingin meniru bajet tersebut.
“Bajet 2023 sebahagian besar menjadi manifesto BN, kalau kita lihat latar belakang bajet ini datangnya daripada saya bersama Menteri Kewangan iaitu kedua-duanya dari BN atau UMNO, saya selaku Naib Presiden UMNO dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku bendahari.
“Arkitek kepada manifesto Bajet 2023 ialah saya dan Tengku Zafrul, tidak ada sesiapa yang tahu walau menteri sehinggalah ia dibentang sebab itu Bajet BN adalah berpijak di bumi nyata,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Kenduri Kampung Bersama Komuniti Felda Sebertak di Dewan Orang Ramai Felda Sebertak di sini hari ini.
Semalam Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan tawaran PN Best memberi jaminan bahawa semua insentif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksana serta ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut Ismail Sabri Bajet 2023 yang dibentangkannya adalah realistik kerana kerajaan mempunyai dana bagi melaksanakannya berbanding manifesto biasa pembangkang yang tidak berasaskan kepada kedudukan kewangan.
Katanya, pembangkang boleh menjanjikan apa sahaja semasa pilihan raya tetapi mereka tidak mampu melaksanakannya kerana ia adalah tidak realistik dengan keadaan kewangan.
“Sebab itu saya kata semasa Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan menjanjikan pelbagai tetapi ‘over promise’ sehingga tidak boleh dilaksanakan sebab apabila mereka membuat janji melalui manifesto mereka tidak peduli boleh dilaksanakan atau tidak.
“Ia hanyalah janji manis untuk memikat rakyat mengundi mereka dan kita telah buktikan bahawa manifesto seperti ini apabila memerintah tidak dilaksanakan kerajan, ia hanyalah janji semata-mata,”katanya.-KOSMO! ONLINE