KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan inisiatif dan program terkandung dalam manifesto ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan dianggotai pakar berkaitan.
“Penubuhan jawatankuasa itu membuktikan komitmen tinggi untuk melaksanakan semua tawaran PN bertemakan ‘Prihatin, Bersih, Stabil’.
“Insya-Allah, semua tawaran tersebut dapat dilaksanakan dengan sedikit pengalaman sebagai kerajaan ketika negara berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas yakin manifesto PN dapat dilaksanakan jika mendapat kerjasama dan sokongan penjawat awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak swasta dan rakyat.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan manifesto PN
yang mengandungi 234 tawaran berteraskan 12 tunjang di Shah Alam, Selangor malam tadi. – KOSMO! ONLINE