PETALING JAYA – Nama Nur Fathiah Syazwana Shahruddin, 28, atau Cleopatra baru-baru ini secara rasminya bertanding sebagai calon Bebas Parlimen Batu, untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Mana tidaknya, beliau yang aktif di kebanyakan platform media sosial sering mendapat perhatian orang ramai kerana calon wanita ini memiliki figura yang mempersonakan.
Semalam, Cleopatra yang juga seorang aktivis kemasyarakatan, telah memuat naik satu video di akaun TikToknya bagi menjelaskan sebab beliau bertanding sebagai calon Bebas.
Beliau yang juga seorang usahawan berkata, pembabitan beliau dalam kalangan penduduk Parlimen Batu bukanlah baru dan sering bergiat aktif bersama persatuan Hawa dalam memperjuangkan masalah masyarakat setempat.
“Namun, sebagai pengasas persatuan Hawa, kerja kemasyarakatan saya agak terbatas kerana Hawa tidak mempunyai suara yang cukup kuat untuk membantu rakyat terutamanya daripada sudut pelajaran, peluang pekerjaan, dan bantuan kos sara hidup.
“Banyak usaha ingin saya laksanakan dan ketengahkan kepada pihak berwajib terutamanya kerajaan, tetapi seringkali aduan yang saya bawa daripada penduduk Batu tidak dilayan,” ujarnya di dalam video itu.
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut berkata dengan penglibatan dirinya sebagai calon Bebas, beliau berharap dapat membawa pembaharuan dan mengubah Batu ke arah yang lebih baik.
“Kita perlukan wakil daripada anak muda untuk memimpin masa depan Malaysia. Masanya telah tiba untuk golongan muda menyinar serta melindungi masa depan negara kita,” katanya yang menggunakan slogan #ResetBatu.
Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru pada PRU15 kali ini.
Selain Cleopatra, antara pemimpin yang berminat merebut Parlimen Batu ialah bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang turut bertanding atas tiket Bebas, penyandang kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH), P Prabakaran dan peguam serta aktivis, Siti Kasim atau nama sebenarnya, Siti Zabedah Kassim. – KOSMO! ONLINE