Produk minyak, minyak hangat, set bersalin, jamu dan jus adalah antara segmen popular keluaran Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. (Afiat) dahulunya dikenali sebagai Perusahaan Minyak Afiat yang bakal mencecah usia 100 tahun menjelang tahun 2024.
Meneruskan legasi perniagaan keluarga secara turun temurun daripada Pengasas syarikat, Allahyarham Panjang Kamarudin pada tahun 1924 kini ia diusahakan secara komersial oleh generasi ketiga dan keempatnya yang diterajui oleh Ahmad Zakaria Khalis sejak tahun 1970.
Mahu mengubah persepsi Syarikat Afiat sebagai pengeluar produk kampung, syarikat telah bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi untuk menaik taraf produk selain mengubah status kilang sedia adanya kepada kilang kosmetik.
Syarikat memiliki dua buah kilang yang mana salah satunya terdiri daripada kilang tradisional dan sebuah lagi adalah kilang mengeluarkan produk yang mengandungi bahan kimia tetapi di bawah kawalan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, syarikat mahu terus melaksanakan kajian dan pembangunan dengan institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan daya saing produk selain dalam perancangan untuk menaik taraf kilangnya menjadi sebuah pusat pengeluar yang lengkap untuk membolehkan usahawan lain menghasilkan produk sendiri di kilang berkenaan.
“Kami memiliki 13 jenis produk dan dalam fasa menuju ke 100 tahun menjelang 2024, kami dalam proses melaksanakan penjenamaan semula dan mengeluarkan produk-produk baharu,” katanya kepada wartawan, Liyana Ramli yang berkunjung ke kilang Afiat di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh ceritakan serba ringkas perkembangan terbaharu Syarikat Afiat?
AHMAD ZAKARIA: Syarikat sedang menuju ke era 100 tahun dan kami bercadang untuk membesarkan pasaran syarikat. Baru-baru ini, syarikat Afiat telah mendapat tawaran untuk memasarkan poduk di dalam rangkaian farmasi terkenal iaitu Guardian.
Sebelum ini, kami pernah memohon untuk bekerjasama dengan Guardian, tetapi disebabkan syarat-syaratnya yang agak ketat dan rumit, kami tidak bekerjasama. Namun, kini mereka pula yang membuat tawaran kepada kami, jadi produk Afiat akan mula dipasarkan di Guardian dalam masa terdekat.
Produk Afiat bukan sahaja dipasarkan di negeri Perak, malah di seluruh negara.
Bagaimana pula dengan pasaran di peringkat antarabangsa?
Memang cita-cita kami untuk meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa, tetapi apa yang terjadi di Indonesia telah memberi pengajaran kepada kami.
Di sana, penerimaan produk kami tidak mendapat sambutan yang hangat. Syarat-syarat di Indonesia juga agak ketat. Jika benar mahu memasarkan produk, kami perlu membuka kilang di sana.
Sudah pasti ia akan menelan modal yang lebih besar. Bagaimanapun, permintaan produk Afiat di Brunei dan Singapura agak memberangsangkan walaupun hanya melalui pengedar-pengedar kami yang sah di sana.
Bagaimana pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada Syarikat Afiat?
Antara kelebihan syarikat ini adalah kami tidak merasakan kegawatan ekonomi ketika itu kerana permintaan produk masih ada.
Pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menutup kilang selama tiga bulan, tetapi memandangkan kilang kedua kami berdaftar di bawah farmaseutikal dan kami dibenarkan beroperasi. Itu memang dinamakan rezeki kerana pada awal PKP memang tidak menjejaskan ekonomi syarikat.
Sebelum ini, Afiat dipasarkan secara offline tetapi disebabkan PKP, kami pasarkan secara online apabila terdapat beberapa agensi seperti Mara telah memberi kami peluang untuk belajar teknik bagaimana untuk menjual secara online.
Kami sedang giat ke arah digitalisasi. Afiat ini umpama serampang dua mata, ia tidak boleh ketinggalan dengan teknik pemasaran yang baharu. Jika ketinggalan, Afiat mungkin akan dilupakan. Sehubungan itu, kami sudah membentuk satu pasukan digital yang mantap.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Afiat agak sunyi daripada promosi atau aktiviti pengembangan sedangkan jenama Afiat sudah dikenali ramai?
Kami adalah antara sebuah kilang bumiputera yang bertaraf GMP (Amalan Perkilangan Baik). Jadi, bila berada dalam GMP, syarat-syaratnya agak banyak untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan, jadi kami perlu berhati-hati. Jadi, disebabkan undang-undang ini, agak terhad untuk kami mempromosikan produk.
Setakat ini, kami mempromosikan produk di pelbagai platform media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram dan platform jualan online seperti Lazada, Shoppe dan PGMall.
Berapa jenis produk sekarang dan apa perancangan terbaharu syarikat?
Syarikat merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk baharu berupa kosmetik, produk makanan kesihatan berasaskan herba dan juga penjagaan diri.
Di antara produk keluaran Afiat adalah seperti Minyak Afiat, Minyak Hangat Afiat, Set Bersalin Afiat, Air Jamu Bawang Putih dan Jus Halia.
Selain itu, syarikat juga ada menghasilkan produk penjagaan diri seperti gel mandian, syampu, produk pembersihan wanita, balm dan krim Afiat hasil kerjasama dengan SIRIM Berhad.
Di sini, kami memiliki dua buah kilang iaitu kilang tradisional yang mengeluarkan produk tanpa bahan kimia yang terlarang atau dikawal, manakala sebuah lagi kilang mengeluarkan produk yang mengandungi bahan kimia yang dikawal dan kelebihannya ia boleh dijadikan sebagai kilang kosmetik.
Untuk pengetahuan, kilang sedia ada itu bertaraf farmaseutikal yang boleh dijadikan kilang kosmetik.
Sebenarnya, kami ada banyak perancangan baharu antaranya mengeluarkan produk kosmetik dan penambaikan dari segi teknologi. Kami sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam sebagai usaha untuk mengubah operasi syarikat menjadi sebuah kilang kosmetik.
Dalam masa yang sama, kami akan menggunakan khidmat UiTM untuk menaiktaraf produk dan melalui hasil kerjasama ini, ia akan dapat mengubah stigma masyarakat tentang produk
Afiat sebagai produk kampung.
Impian saya adalah untuk menjadikan kilang ini lengkap dengan makmal supaya usahawan yang ingin mengeluarkan produk boleh mengeluarkan produk di sini. -KOSMO! ONLINE