SHAH ALAM – Usai menyelesaikan persembahan konsert minggu kelapan, anggota kumpulan VE, Fakhiz memohon khalayak turut mendoakan kesembuhan anak kecilnya, Jauza Hanania, yang sedang bertarung dalam wad
hospital.
Difahamkan, bayi perempuan berusia dua bulan itu masih lemah akibat dehidrasi.
“Anak saya sudah berada di dalam wad selama tujuh hari akibat dehidrasi.
“Dia tidak mahu makan sehingga doktor terpaksa memasukkan tiub untuk minum susu.
“Pada petang tadi, keadaannya masih lemah. Saya memohon semua untuk sama-sama mendoakan kesembuhan Jauza Hanania,” ujar Fakhiz menahan emosi.
Biarpun teruji dengan masalah kesihatan anak yang masih kecil, perkara tersebut tidak mengganggu konsentrasinya untuk menyempurnakan persembahan minggu kelapan bersama VE.
Fakhiz turut menerima pujian daripada Datuk Shafinaz hasil kecemerlangan vokalnya malam ini. – KOSMO! ONLINE