VALENCIA – Pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia menoktahkan gelaran sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada perlumbaan terakhir di Grand Prix (GP) Valencia hari ini.
Meskipun Pecco menamatkan saingan tempat kesembilan namun ia sudah memadai buat pelumba Itali itu untuk merangkul gelaran dunia MotoGP 2022 selepas dia hanya memerlukan dua mata di Litar Ricardo Tormo sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo.
Keputusan itu sekali gus menamatkan penantian 15 tahun pasukan Ducati selepas kali terakhir pasukan Itali itu muncul juara kategori pelumba pada 2007 menerusi Casey Stoner.
Bagnaia juga memastikan pelumba Itali kembali merangkul gelaran berprestij itu selepas kali terakhir mereka menjulangnya trofi kemenangan menerusi gurunya iaitu Valentino Rossi pada 2009.
Pada saingan tersebut, Bagnaia yang memulakan saingan dipetak kelapan bermula agresif apabila bersaing rapat dengan juara musim lalu, Quartararo apabila pelumba Yamaha itu berada di hadapannya.
Quartararo yang terdesak mencari kemenangan dilihat terus bekerja keras dan berlaku sedikit pelanggaran dengan Bagnaia hingga menyebabkan winglet jentera Bagnaia, Desmosedici GP22 tercabut.
Insiden tersebut menyebabkan Pecco lebih berhati-hati dan membiarkan Quartararo melepasinya namun pelumba Yamaha tersebut sekadar menamatkan saingan tempat keempat.
Sementara itu, Alex Rins melakukan kejutan selepas muncul juara sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat Suzuki kerana pasukan berpangkalan Jepun itu mengumumkan untuk meninggalkan perlumbaan MotoGP.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder menamatkan saingan tempat kedua manakala Jorge Martin (Pramac Racing) tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE.