LONDON – Arsenal meneruskan momentum cemerlang apabila merekodkan kemenangan ke-11 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge sebentar tadi.
Kemenangan itu amat bermakna buat The Gunners apabila kembali merampas takhta pendahulu EPL daripada juara bertahan, Manchester City dengan kelebihan dua mata selepas 13 perlawanan.
Skuad bimbingan Mikel Arteta itu mempunyai beberapa peluang dalam separuh masa pertama terutamanya menerusi penyerang utamanya, Gabriel Jesus.
Bagaimanapun, tandukan Jesus gagal menepati sasaran untuk menewaskan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy selepas menerima hantaran lambung daripada Gabriel Martinelli.
Kelab dari Utara London itu ternyata lebih bertenaga berbanding Chelsea pada babak kedua dengan serangan bertali arus sehinggalah memperoleh gol pembukaan melalui Gabriel Magalhaes.
Gol tersebut berpunca daripada tampanan Magalhaes hasil sepakan penjuru Bukayo Saka yang gagal dikeluarkan oleh benteng pertahanan Chelsea pada minit ke-63.
Arsenal sebenarnya berpeluang untuk menamatkan perjuangan The Blues lebih awal tetapi beberapa percubaan daripada Saka dan kapten, Martin Odegaard gagal menepati sasaran.
Pengurus Chelsea, Graham Potter terpaksa membuat keputusan drastik dengan mengeluarkan bekas kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang dilihat ‘hilang’ sepanjang perlawanan itu.
Begitupun, kemasukan Armando Broja, Mateo Kovacic, Christian Pulisic dan Conor Gallagher masih gagal membantu Chelsea mencari gol penyamaan dalam perlawanan itu.
Ini adalah kemenangan ketiga Arsenal ke atas pasukan ‘Big Six‘ musim ini selepas terdahulu menewaskan Tottenham Hotspur dan Liverpool bulan lalu. – KOSMO! ONLINE