fbpx

Penyeludupan ke Thailand punca bekalan telur kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (kanan) bertemu dengan sebahagian mangsa ribut di Kampung Tegayong, Melor dekat Kota Bharu hari ini. FOTO ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU – Kegiatan penyeludupan telur ke Thailand merupakan antara punca yang menyebabkan negara mengalami kekurangan kira-kira 100,000 biji bekalan telur sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, keadaan itu berlaku berikutan harga telur yang dijual negara tersebut jauh lebih mahal berbanding di sini.

“Jadi, kita berharap mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan supaya dapat memberikan kerjasama kepada jawatankuasa untuk tidak membawa telur ke Thailand.

“Bekalan telur tidak dapat ditambah dengan kadar segera memandangkan proses ayam gantian untuk menghasilkan telur baharu memerlukan tempoh masa sehingga empat bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Tegayong, Melor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, berdasarkan siasatan, ayam yang menghasilkan telur disembelih terlebih awal sedangkan ia masih lagi mampu mengeluarkan telur.

Katanya, justeru, proses ayam gantian untuk mendapatkan bekalan telur baharu itu menjadi lambat.

“Keadaan itu menyebabkan kerajaan perlu menambah RM20 juta sebulan untuk pulihkan bekalan telur, namun impaknya masih belum ada sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, kita menjangkakan bekalan telur ayam mungkin akan pulih pada akhir Disember ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI