fbpx

Tujuh individu terlibat insiden Myvi terbalik dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menterbalikkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terlibat dalam satu kemalangan dengan seorang penghantar makanan di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

PASIR GUDANG – Polis sedang mencari seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan yang menterbalikkan sebuah kereta di Taman Kota Masai, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, setakat ini sembilan individu telah ditahan berhubung kejadian tersebut.

“Polis menahan tiga individu kelmarin, manakala enam lagi yang lain ditahan lewat hari yang sama, menjadikan keseluruhan sembilan yang ditahan setakat ini.

“Pada waktu ini tiada tiada tangkapan baharu, namun kami masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya ketika dihubung pemberita, di sini hari ini.

Semalam, beliau memaklumkan sembilan suspek yang ditahan berusia antara 16 hingga 41 tahun telah ditahan reman selama empat hari hingga Selasa.

Tambah beliau, siasatan ke atas sembilan suspek itu sudah selesai dan kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Tujuh daripada mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video tular sejak lewat malam semalam menunjukkan sekumpulan pemuda bertindak memecahkan cermin kereta Perodua Myvi sebelum kereta itu diterbalikkan.

Mohd. Sohaimi sebelum ini melaporkan kekecohan itu berlaku selepas kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan.

Katanya, pemandu kereta mendakwa selepas kemalangan itu, sekumpulan individu tidak dikenali menghampirinya dan bertindak merosakkan kereta miliknya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI