fbpx

Tuduhan A. Aida palsu, berunsur hasutan – Awesome TV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM menjelaskan Awesome TV tidak pernah gagal melunaskan sebarang pembayaran secara progresif seperti didakwa A. Aida.

PETALING JAYA – Kemelut antara Awesome TV dan Datuk A. Aida semakin melarat tatkala Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) belum pun sempat bertemu dengan pengurusan stesen tersebut bagi mencari penyelesaian.

Awesome TV menjelaskan isu tunggakan bayaran program yang dikaitkan dengan stesen televisyen itu seperti didakwa sekumpulan penerbit sebagai tuduhan palsu dan tidak berasas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Ilyas berkata, pihaknya ralat dengan tindakan A. Aida yang dilihat cuba menjatuhkan reputasi Awesome TV dengan mempergunakan kedudukan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas.

“Tuduhan tersebut adalah palsu. Rekod kewangan bahagian akaun syarikat kepada rumah produksi yang pernah menerbitkan karya kreatif dan disiarkan dalam Awesome TV tidak pernah gagal melunaskan sebarang pembayaran secara progresif.

“Kami juga sudah membuat penelitian lanjut dan semakan silang secara menyeluruh atas rekod kewangan syarikat,” katanya.

Disebabkan itu tegas Adam, pasukan undang-undang dan firma guaman Awesome TV kini dalam proses meneliti perkara tersebut.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang kepada yang terbabit dan memandang serius spekulasi tidak berasas yang ditimbulkan A. Aida kerana telah mencemarkan nama baik dan reputasi pihak kami selaku stesen televisyen,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah katanya, tindakan penerbit itu mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Finas sebagai menggunakan kedudukan selaku Ahli Lembaga Finas untuk memanjangkan isu balasan kenyataannya berhubung rupa paras menjadi keutamaan berbanding bakat.

A. AIDA sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila membuat kenyataan mementingkan rupa paras berbanding bakat dalam pencarian pelakon untuk karya terbitan produksinya.

“Tindakan A. Aida berjumpa dengan Pengerusi Finas mengenai perkara ini dilihat berniat jahat dan berunsur fitnah serta menjatuhkan reputasi Awesome TV yang mempunyai hubungan sedia ada dengan penggiat seni.

“Tuduhan ini dilihat amat berat terutama apabila Awesome TV merupakan salah satu platform utama penggiat seni untuk berkongsi hasil kerja mereka dan dijadikan salah satu medan mencari rezeki.

“Awesome TV turut merasakan bahawa A. Aida telah mempergunakan kedudukannya sebagai ahli di Finas dan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap kami.

“Kami menidakkan kenyataan yang dibuat pada perjumpaan beliau bersama Pengerusi Finas tempoh hari yang dilihat berunsur hasutan selain merasakan mempunyai niat jahat terhadap kami.

“Isu berbangkit yang diperdebatkan sebelum ini adalah perihal paras rupa dan bakat penggiat seni tetapi A. Aida sengaja mengaburi mata umum dengan hal tidak berkaitan khususnya melibatkan urusan dalaman Awesome TV,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak berkata, prosedur pembayaran yang dilaksanakan stesen tersebut kepada penerbit adalah sama seperti diaplikasikan stesen televisyen lain.

“Mengikut pengalaman saya selama bekerja dalam industri seni tanah air lebih dari 10 tahun, apa yang dipraktikkan Awesome TV adalah amalan kebiasaan stesen televisyen di negara ini,” katanya.

Beberapa hari lalu, Finas sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu tunggakan bayaran program televisyen membabitkan penerbit dan Awesome TV pada pertemuan bersama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Penerbit Filem (PFM) dan beberapa produser.

Sebelum itu, A. Aida menyelar tindakan Awesome TV yang dikatakan hanya memberi tumpuan terhadap  isu paras rupa berbanding menjelaskan hutang kepada beberapa syarikat produksi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI