LONDON – Pemain sensasi England, Jack Grealish mengakui semakin selesa untuk mengukuhkan tempat dalam kesebelasan utama tetapi belum layak untuk dipuji kelibatnya setanding dengan bintang legenda The Three Lions, Paul Gascoigne.
“Saya akui sudah beraksi dengan baik sejak dipanggil oleh Gareth Southgate pada bulan lalu tetapi untuk pujian yang diterima seperti corak permainan saya sama dengan Gascoigne adalah sesuatu yang cukup besar dan belum layak saya terima.
“Namun, tidak dinafikan saya membesar dengan menyaksikan Gascoigne beraksi dan dia sememangnya memberikan impak dalam corak permainan saya dalam usaha mencipta peluang buat rakan-rakan sepasukan.
“Kini, saya perlu bekerja keras untuk mengekalkan momentum dan tidak boleh terlalu dibuai pujian. Saya telah berusaha cukup lama untuk sampai ke tahap ini dan hasilnya bakat saya sudah mula diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata Grealish.
Sebagai rekod, Grealish telah mempamerkan aksi cemerlang dengan mencipta banyak peluang jaringan ketika pasukan England menang 3-0 ke atas Wales dan bakal menjadi sandaran untuk mengharungi saingan Liga Negara-Negara Eropah menentang Belgium awal pagi esok.
Mengulas lanjut, Grealish mengakui tugasnya menjadi lebih mudah memandangkan barisan penyerang England cukup berbisa terdiri daripada Harry Kane, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Dominic Calvert-Lewin.
“Banyak perkara yang saya belajar ketika bersama skuad kebangsaan. Namun, apa yang lebih menggembirakan adalah peluang untuk berada dalam satu kumpulan penyerang berkelas dunia seperti Kane, Sterling dan Rashford. Mereka banyak memudahkan tugas saya,” katanya. – AGENSI