KAMPALA, Uganda – Uganda melanjutkan perintah berkurung tiga minggu di dua daerah yang menjadi pusat penularan wabak Ebola termasuk menguatkuasakan larangan perjalanan serta menutup tempat awam.
Sejak wabak Ebola diisytiharkan di daerah Mubende, tengah Uganda pada 20 September lalu, penyakit demam berdarah itu telah merebak ke seluruh negara Afrika Timur tersebut, termasuk ibu kotanya, Kampala.
Sebanyak 51 kematian dilaporkan setakat kelmarin.
Varian yang kini menular di Uganda dikenali sebagai virus Ebola Sudan. Pada masa ini, belum ada vaksin bagi varian tersebut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu lepas berkata, Uganda merekodkan lebih 150 kes disahkan dan disyaki Ebola, termasuk 64 kematian.
Presiden Yoweri Museveni menguatkuaskan perintah berkurung 21 hari di Mubende dan daerah jiran, Kassanda pada 15 Oktober lalu tetapi enggan memperluaskannya ke seluruh negara.
Kelmarin Menteri Kesihatan, Ruth Jane Aceng memberitahu bahawa perintah berkurung akan dilanjutkan selama 21 hari lagi di Mubende dan Kassanda.
Ia termasuk orang awam perlu berada di rumah dari senja hingga subuh di samping pelaksanaan larangan perjalanan serta penutupan pasar, bar dan gereja.
“Kami menggesa orang ramai mematuhi perintah berkurung ini dan terus berwaspada,” katanya.
Ebola merebak melalui cecair badan, manakala gejala biasa termasuk demam, muntah, pendan cirit-birit. Wabak Ebola sukar dibendung, terutamanya dalam persekitaran bandar.
Museveni juga mengarahkan polis supaya menangkap sesiapa sahaja yang dijangkiti Ebola tetapi enggan mengasingkan diri.
Menurut WHO, terdapat risiko tinggi Ebola merebak lebih jauh dan menyeru negara-negara jiran Uganda meningkatkan kesiapsiagaan. Kematian terakhir yang direkodkan di Uganda akibat wabak Ebola ialah pada 2019.
Wabak Ebola terburuk di rantau Afrika Barat berlaku antara 2013 hingga 2016 yang memunuh lebih 11,300 orang. – AFP