BUENOS AIRES – Penyerang sensasi, Lautaro Martinez mengakui tidak puas bergandingan dengan kapten Argentina, Lionel Messi hanya dalam skuad kebangsaan seperti mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 ketika ini.
Perkara itu didedahkan oleh ejen peribadi Martinez, Beto Yaque yang mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu sudah tidak sabar untuk menanti peluang bergandingan dengan Messi di peringkat kelab selepas ini.
Sebagai rekod, Martinez yang mewakili pasukan Serie A, Inter Milan telah dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona yang mana Messi menjadi kapten pasukan bimbingan Ronald Koeman itu.
Kata Yaque, kliennya itu sememangnya menjadikan Messi sebagai idola dalam bola sepak dan peluang untuk bergandingan dalam skuad Argentina dijadikan sebagai proses pembelajaran yang sangat berharga.
“Dia (Martinez) sangat gembira setiap kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Argentina kerana ketika itu dia dapat peluang keemasan untuk bergandingan dengan Messi sekali gus mempelajari banyak perkara di dalam dan di luar padang.
“Sebelum ini dia telah meluahkan hasrat untuk bersama dengan Messi di peringkat kelab (Barcelona) tetapi apa yang boleh saya katakan semua khabar angin mengenai perpindahan dia tidak sahih.
“Barcelona tidak pernah menawarkan kontrak kepadanya dan buat masa ini dia hanya mahu memberikan tumpuan bersama Inter dan pasukan Argentina. Namun, bagi masa depan saya tidak tahu ke mana hala tuju Martinez,” katanya. – AGENSI