SAN FRANCISCO, CALIFORNIA – Twitter secara rasmi melancarkan sistem langganan Twitter Blue seperti yang dicadangkan oleh pemilik baharu laman perkongsian sosial tersebut, Elon Musk, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Twitter Blue menyaksikan pengguna dikenakan langganan bulanan sebanyak AS$7.99 (RM38) untuk tanda semak di sisi nama akaun mereka beserta ciri tambahan lain.
Menurut mesej pemberitahuan dalam sistem operasi peranti mudah alih IOS kelmarin, ciri-ciri istimewa pelanggan Twitter Blue termasuk melihat separuh daripada iklan yang diterima oleh pengguna biasa dan keupayaan memuat naik klip video lebih panjang, sehingga 10 minit.
Perkhidmatan itu kini tersedia di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, New Zealand dan Britain, manakala Musk berkata, sistem Twitter Blue akan tersedia di seluruh dunia tidak lama lagi.
“Sebaik sahaja kami dapat mengesahkan Twitter Blue berfungsi dengan baik di beberapa negara terawal dan menyelesaikan kerja penterjemahan, ciri ini seterusnya akan dilancarkan di seluruh dunia,” kata Musk dalam pemberitahuan di Twitter kelmarin.
Pengumuman itu menunjukkan bahawa pengguna Twitter Blue akan menyaksikan iklan yang ‘dua kali lebih relevan’.
Katanya, Twitter Blue akan menjadi ‘alat untuk memerangi penipuan atau kesalahan maklumat secara berkala’.
Sistem langganan itu juga akan menawarkan ranking untuk ‘kandungan berkualiti’ dengan meningkatkan kebolehan dalam membalas ciapan dan capaian pelanggan.
Menurut Twitter, sistem Twitter Blue akan ‘mengurangkan kewujudan penipuan secara online, spam dan bot’.
Twitter Blue dilancarkan selepas kira-kira 3,700 daripada 7,500 pekerja Twitter diberhentikan melalui notis pemberitahuan secara e-mel. Musk mempertahankan keputusan pemberhentian kerja besar-besaran itu dengan berkata, beliau ‘tiada pilihan’ lain kerana syarikat itu kerugian AS$4 juta (RM18.99 juta) sehari.
Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla sebelum ini memberitahu bahawa Twitter mempunyai tenaga kerja yang berlebihan dan mahu mengurangkan kos sebanyak AS$500 juta setahun.
Beliau membayar AS$44 bilion (RM208.9 juta) untuk membeli laman sosial berkenaan yang mencatat kerugian sekitar AS$221 juta (RM1.04 bilion) sepanjang tahun fiskal lepas. – Agensi