PASUKAN Tobaki Pink Racing mengakui berbangga dengan kemampuan pelumba mudanya selepas memperagakan aksi cukup baik pada Kejuaraan Cub Prix musim ini.
Meskipun tahun pertama turun beraksi dalam kancah perlumbaan Cub Prix, namun pelumba berusia 14 tahun, Irfan Danish Arfan menunjukkan peningkatan pada setiap pusingan perlumbaan kategori Wira KBS.
Pada perlumbanan Pusingan 9 di Litar Antarbangsa Sepang (Litar Selatan) semalam, Irfan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 sekali gus mengutip dua mata berharga meskipun memulakan saingan petak ke-21.
Prinsipal pasukan, Nur Atikah Azwar berkata, pihaknya sentiasa memberi dorongan kepada pelumba mudanya dan berbangga dengan pencapaiannya Irfan sekali gus mengharapkan keputusan terbaik pada pusingan terakhir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bulan depan.
“Saya sentiasa berbangga dengan pencapaian Irfan kerana dia sentiasa mempamerkan kesungguhan yang baik setiap kali berlumba. Meskipun baru tahun pertama dalam saingan Cub Prix, namun dia berjaya melepasi cabaran untuk mengutip mata.
“Pada hari ini, Irfan berjaya menempatkan diri untuk meraih mata dan ini satu pencapaian terbaik yang dicapainya di Sepang. Saya harap dia mampu lakukan dengan lebih baik menjelang perlumbaan terakhir di Batu Kawan nanti,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kontrak dua pelumba kategori Wira, iaitu Irdan dan Danny Mikhail Khairul Fauzi, Nur Atikah menjelaskan beliau akan mengumumkan dalam tempoh terdekat.
“Ketika ini rundingan sedang dilakukan dan kita hanya berharap mereka mempamerkan prestasi terbaik di Batu Kawan sebelum kita memutuskannya,” tambah Nur Atikah.
Selepas sembilan pusingan, Danny Mikhail yang gagal mengutip mata di Sepang selepas mengakhiri perlumbaan tempat ke-16 berada di kedudukan ke-14 keseluruhan dengan mengumpul 28 mata, manakala Irfan di tempat ke-22 dengan mengumpul 13 mata.