fbpx

Bidoglio akui tugas JDT belum selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERGSON (kanan) berjaya meledak gol pertama JDT ketika menewaskan Kelantan pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu kelmarin. – FB JOHOR SOUTHERN TIGER

Oleh MUSTAQIM MOHAMED

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak merasakan tiga gol yang dihasilkan anak buahnya di Kota Bharu sebagai ‘lesen’ untuk me­ngendurkan kekuatan pada perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.

Bagaimanapun, kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin menyerlahkan kemahuan JDT, namun Bidoglio tetap melabel Kelantan sebagai lawan yang cukup sukar untuk ditundukkan.

“Kami tiada perancangan untuk merehatkan pemain utama. Sejujurnya di dalam fikiran kami, tugas belum selesai dan kami perlu terus bekerja. Kita akan lihat lebih dahulu kepada aspek pemulihan dan prestasi semasa pemain.

“Kami bernasib baik kerana mempunyai pemain berkualiti pada setiap posisi yang membolehkan penggiliran dibuat tanpa masalah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia kelmarin.

Mengulas perlawanan ber­kenaan, pengendali kelahiran Argentina itu tidak memandang rendah kebolehan serta cabaran Kelantan pada saingan Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, tiada laluan mudah bagi mana-mana pasukan yang bersaing dalam kejohanan berprestij itu bermula peringkat kalah mati sehingga ke peringkat suku akhir ini.

“Kami memang sudah menjangkakan perlawanan yang sukar apabila bertandang ke Kota Bharu. Tambahan pula Kelantan bermain di hadapan penyokong mereka yang memenuhi stadium dan sorakan hebat.

“Keadaan padang turut membataskan pergerakan pemain saya menyebabkan perancangan taktikal pasukan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Bagaimanapun, saya puji pemain-pemain kerana telah memberikan yang terbaik,” katanya.

Pada aksi kelmarin, Bergson Da Silva membuka tirai jaringan buat JDT sebelum Syafiq Ahmad melebarkan kedudukan dan Leandro Velazquez menyempurnakan malam cemerlang skuad Harimau Selatan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI