BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjaja dan peniaga kecil akan terus diberikan perhatian oleh kerajaan dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan itu, malah telah memperuntukkan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM1,000 kepada setiap penjaja, peniaga kecil dan pemandu teksi.
“Bukan itu sahaja, banyak lagi kemudahan lain seperti pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan sebagainya sebagai tambahan modal kepada mereka,” katanya selepas Program Walkabout di Pekan Sehari Kerayong, di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri kerajaan akan terus membantu golongan berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
Dalam pada itu mengulas permasalahan penjaja di Pekan Sehari Kerayong ini, Ismail Sabri memberitahu, tiada masalah yang besar dalam kalangan penjaja dan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di sini kerana mereka tidak pernah tercicir dalam menerima bantuan yang sewajarnya.
“Cuma saya bersetuju dengan permintaan penjaja apabila di kawasan ini yang tidak mempunyai tandas awam. Saya akan angkat perkara ini ke Majlis Daerah Bera (MDB) supaya dapat menyediakan tandas mudah alih di sini.
“Dulu mereka berniaga di kawasan lain yang ada kemudahan tandas, tetapi selepas diubah, mereka terpaksa menumpang tandas-tandas kedai berdekatan,” jelasnya.
Sementara itu beliau berkata, produk IKS di bawah penjenamaan BeraBest akan diaktifkan semula bagi membantu penjaja atau peniaga kecil yang mempunyai produk dapat dipasarkan ke pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) supaya mengaktifkan semula jenama tersebut.
“BeraBest adalah produk yang dihasilkan peniaga IKS daerah Bera yang diketengahkan semasa saya menjadi menteri pertanian pada ketika itu, namun setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, perkara itu tak dapat diteruskan dengan lancar.
“Jadi saya akan aktifkan semula BeraBest,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE