fbpx

Armand kurang sihat, Gigi tetap energetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Gigi mengubat kerinduan peminat di Kuala Lumpur selepas kali terakhir mengadakan konsert di negara ini 14 tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan vokalisnya, Armand Maulana tidak begitu baik namun itu bukan penghalang kumpulan Gigi menghipnosis hampir 2,000 peminat di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.

Mempersembahkan 20 buah lagu dengan durasi konsert lebih dua jam, kelibat kumpulan yang setia dianggotai Dewa Budjana selaku gitaris, Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram) sangat dinantikan menerusi penganjuran Konsert Gigi Nakal.

Ini merupakan kemunculan terkini kumpulan itu di Malaysia selepas kali terakhir bertemu peminat di sini 14 tahun lalu.

 

VOKALIS Gigi, Armand kurang sihat namun langsung tidak menghalang dirinya menghiburkan hampir 2,000 penonton yang membanjiri Zepp KL, malam tadi. Foto – TANJAK GLOBAL

“Saya tidak enak (sihat) tapi bismillah, saya akan mencuba (menyanyi) sampai saat akhir persembahan.

“Saya dah tak peduli kalau dalam media sosial kalian sibuk bercakap ‘wah, Armand menyanyi teruknya’. Tidak mengapa, ini tanggungjawab saya.

“Buat malam ini (tadi), kerana kalian terima saya dalam keadaan tidak ‘fit’, saya mewakili semua kru Gigi ingin katakan, kalian (audiens) ‘gila babi’,” katanya memberi apresiasi terhadap para penonton yang sangat ‘sporting’ malam tadi.

Meskipun tidak sihat yang memaksa listrik vokal Armand tidak seperti kebiasaan, energi terhasil daripada pasukan kugiran tersebut ternyata luar biasa.

Dalam pada berhibur, Armand sering memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT dengan mengingatkan audiens untuk menghargai kehidupan dan jangan berkelahi antara satu sama lain.

Terutama orang-orang Nusantara seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura yang sememangnya bersaudara dan serumpun.

Terus membiarkan penonton larut dalam energi dan emosi, sebelum mendendangkan sebuah lagu berjudul Bumi Meringis yang dipetik daripada diskografi 2 x 2 terbitan 1997, Armand, 51, sempat ‘menyelar’ negara kelahirannya yang menyebabkan banyak kebobrokan berkaitan alam sekitar.

“Kita (Indonesia) mengeksport asap hutan. Kebakaran hutan di Kalimantan ke Malaysia dan Singapura.

“Kita buat lagu ini untuk ‘kemaluan’ (membuatkan audiens tertawa). Tidak mengapa, it’s okay, memang benar-benar seperti kemaluan.

“Memalukan sangat untuk Indonesia. Mudah-mudahan kita tidak lagi mengeksport asap kebakaran hutan ke Malaysia dan Singapura,” katanya bernada sarkastik namun penuh pengertian.

Membuat kejutan pada pertengahan persembahan, Armand membawa masuk vokalis kumpulan Cokelat, Kikan menyanyikan sebuah lagu di atas pentas sekali gus membuatkan adrenalin penonton terus memuncak.

Konsert Gigi Nakal Di Kuala Lumpur merupakan anjuran Tanjak Global dengan kerjasama Yolo Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI