PETALING JAYA – Buat julung kali ikon rock dua negara, Rusty Blade dan Majesty dari Singapura serta Gersang dan Ella akan berkongsi pentas menerusi penganjuran Konsert Rockl4sik.
Mereka akan beraksi pada 31 Disember depan bagi menyemarakkan sambutan ambang 2023 di Ekspo Singapura.
Direalisasikan RAB International, penampilan keempat-empat nama yang mempunyai reputasi tersendiri itu diyakini mampu memenuhi cita rasa ‘kaki rock’ dari pelbagai generasi.
Pengarah Operasinya, Muhd. Azli Kamaludin berkata, gabungan Rusty Blade, Majesty, Gersang dan Ella akan menjadi penutup konsert paling gemilang untuk tahun ini dan menjelang pembukaan tahun baharu.
Konsert tersebut menggabungkan ikon rock yang mempunyai kredibiliti sejak lewat 1980-an yang dijangka mampu mengumpulkan ramai penggemar tegar.
“RAB International mahu acara penutup 2022 menjadi kenangan paling bermakna menerusi kolaborasi band yang sudah lama tidak muncul dengan konsert mega apatah lagi digabungkan di satu pentas.
“Mereka akan membangkitkan nostalgia peminat yang membesar dengan lagu rock pada era itu menerusi persembahan tanpa henti selama empat jam.
“Keempat-empat penghibur yang ditampilkan mempunyai rangkaian lagu ‘evergreen’ yang menjadi siulan hingga ke hari ini,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sejak kaunter jualan online dibuka pada 28 Oktober lalu, sambutan konsert tersebut yang boleh memuatkan sekitar 4,000 penonton sangat menggalakkan.
“Kami sengaja memilih lokasi berkenaan kerana Ekspo Singapura satu-satunya tempat yang ditutup lebih lewat selain mampu menampung ramai penonton termasuk dari Johor.
“Demi memastikan peminat dapat meraikan sambutan tahun baharu bersama kami, RAB International memilih lokasi itu supaya penonton menikmati konsert tanpa gangguan,” katanya.
Sementara itu, Man Bai yang mewakili Gersang mengakui teruja dapat kembali ke Kota Singa selepas lebih 30 tahun tidak ke sana.
“Kali terakhir Gersang membuat persembahan di Singapura pada 1989, bermakna sudah 34 tahun kami tidak masuk ke sana untuk menghiburkan peminat.
“Insya-Allah, persiapan sudah mula dibuat. Semestinya kami akan mengubat rindu peminat dengan lagu popular seperti Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir,” katanya.
Man Bai juga memaklumkan, Gersang tidak dapat tampil bersama anggota asal disebabkan ada dalam kalangan rakan seperjuangannya terikat dengan komitmen lain.
“Anggota asal yang akan beraksi pada malam itu adalah saya, Jojet, Man Greng dan Ajib. Sementara tempat Kid digantikan Shahrul Ekamatra dan Eddie Slam menggantikan Datuk Acis,” katanya.
Vokalis Majesty, Hanafie Warren pula berkata, mereka akan menghiburkan peminat dengan lagu popular seperti Penyesalan, Terperangkap Dalam Sinaran dan Masih Ada Rindu.
Sementara itu, Khalid Mobin yang mewakili Rusty Blade menyatakan, kumpulan yang menampilkan Yantzen selaku vokalis itu masih aktif selain kerap berlatih di Singapura.
“Memang sudah lama tidak menjayakan sebarang persembahan kerana ada sahaja halangan, tetapi kami tidak pernah berhenti berlatih.
“Apabila mendapat undangan, kami tidak bimbang kerana sudah sentiasa bersedia dan senarai lagu juga sudah disiapkan.
“Rusty Blade pula berusaha menampilkan anggota asal tetapi Man Karen tidak dapat turut serta berikutan berdepan masalah kesihatan.
“Kami akan mengembalikan nostalgia peminat dengan lagu seperti Tiada Lagi Aku, Ikrar Perwira, Penantian dan banyak lagi,” katanya.
Tiket ditawarkan pada harga antara RM328.09 hingga RM1,171.57 yang boleh didapati menerusi laman www.sistic.com.sg.
Sebahagian hasil penjualan tiket dikatakan akan disalurkan ke Singapore Muslimin Trust Fund Association. – KOSMO! ONLINE