SEBERANG PERAI – “Ya, saya memang seorang aktivis (kebajikan) masyarakat. Tapi, saya tidak akan jadikan perkara itu sebagai modal semata-mata ketika berkempen”.
Itu kata calon parti Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Koh, 41, yang mewakili Dewan Himpunan Penyokong Pas (PHDPP) atas tiket Pas.
Usahawan berasal dari Klang, Selangor yang telah empat tahun terlibat dengan kerja-kerja kebajikan itu berkata, dia memiliki strategi serta pendekatan sendiri untuk memenangi hati pengundi di kawasan tersebut yang sememangnya dikenali sebagai kubu kuat DAP sejak sekian lama.
Mengakui bahawa Bukit Mertajam hampir sukar untuk digugat daripada ‘cengkaman’ DAP, bapa kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun berikrar akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya sebagai calon wakil rakyat dengan sehabis baik.
“Kita tak akan gentar dan akan lawan habis-habisan. Dengan kekuatan jentera yang ada, saya tidak memberikan laluan mudah kepada mereka. Itu janji saya.
“Ya, Steven (Koh) akan lawan Steven (calon DAP yang juga penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim) selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Pas negeri di Markaz Tarbiyyah Pongsu Seribu di Kepala Batas, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, selain Koh dan Sim yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), kerusi Parlimen Bukit Mertajam akan turut ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN), Tan Yang Pang dalam pertembungan melibatkan tiga penjuru.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Sim menang besar dengan majoriti 52,877 undi selepas memperoleh 63,784 undi apabila menewaskan calon BN, Gui Guat Lye (10,907 undi) dalam pertembungan satu lawan ketika itu.
Mengulas lanjut, Koh yang juga satu-satunya calon PN bagi kerusi Parlimen yang bertanding atas tiket Pas (DHPP) berharap usahanya untuk mendekati seberapa ramai pengundi di Bukit Mertajam sepanjang tempoh berkempen akan mendapat sokongan semua pihak .
Selain Parlimen Bukit Mertajam, Pas (DHPP) juga meletakkan tiga calon yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak iaitu di Jelapang, Sungkai dan Pasir Bedemar. – KOSMO! ONLINE