IPOH – Tuan rumah, Malaysia menghidupkan sisa peluang ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 apabila membenam Mesir 4-1sebentar tadi.
Memerlukan kemenangan dalam perlawanan ketiganya itu, anak buah Arul Selvaraj mempamer semangat juang kental untuk mencatat kemenangan pertama.
Ditambah dengan sokongan padu stadium Azlan Shah yang penuh, pemain-pemain Speedy Ttigers bermain seperti ia misi hidup atau mati dengan melancar serangan dari wisel permulaan.
Usaha Malaysia berhasil apabila Silverius Shello menyudah peluang dari bola silangan Nik Aiman Rozemi untuk tuan rumah mendahului pada m-10.
Mesir yang dibimbing bekas pemain Pakistan, Tahir Zaman bagaimanapun bangkit pada suku kedua dan berjaya memadam kelebihan Itu melalui Mahmoud Aboutaleb pada m-26.
Namun selepas itu, pemain-pemain tuan rumah bermain bagai dirasuk dan berjaya menambah tiga gol melalui Muhammad Firhan Ashaari (41), Amirul Azahar (49) dan Shello (51).
Sementara itu, juara bertahan, Korea Selatan mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas empat perlawanan untuk muncul pasukan pertama layak ke final pada 10 November ini.
Bagaimanapun Korea Selatan terpaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Pakistan 2-1 melalui dua jaringan dalam tempoh seminit oleh Kim Hyeonhong .
Pakistan mendahului sejak minit ke-4 melalui jaringan Abdul Shahid.
Jepun pula membenam Afrika Selatan 4-2 selepas mendahului 3-1 pada separuh pertama untuk menghidupkan peluang ke perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE