fbpx

PRU15: Thanenthiran tak gentar bertemu calon pengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
THANENTHIRAN bakal memberi saingan sengit di kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 ini.

NIBONG TEBAL – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri R S Thanenthiran, 59, tidak gentar menghadapi saingan empat penjuru terutama calon berpengalaman yang merupakan penyandang kerusi itu, Datuk Mansor Othman.

Beliau yang juga Presiden Makkal Sakti Malaysia (MMSP) berkata, jentera parti sudah cukup bersedia dan komited bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bukan sahaja di Parlimen Nibong Tebal tetapi untuk semua kerusi yang dipertandingkan.

“Tiada perkataan gentar dalam kamus hidup saya, kerana saya amat optimis dengan kemenangan di Parlimen Nibong Tebal pada 19 November kelak.

“Walaupun ada empat penjuru, tapi saya rasa persaingan yang sihat akan berlaku dan kami di BN berjanji akan mengadakan satu pertandingan yang sangat sihat dan ‘gentleman’ di mana kita tidak akan menggunakan fitnah, menghina atau menjatuhkan imej (parti lawan) ataupun menyerang karakter calon,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan bekas guru itu memberi jaminan akan menyelesaikan isu air yang membelenggu penduduk sejak 15 tahun lalu selain isu perumahan mampu milik dan infrastruktur sekiranya menang nanti.

“Jika dipilih menjadi ahli Parlimen, saya akan menggunakan kesempatan ini untuk menyelesaikan beberapa isu penduduk setempat.

“Saya tidak janji bulan bintang, namun akan cuba sedaya upaya membela nasib rakyat yang perlu diselesaikan dengan segera,” ujarnya

PRU14 lalu telah menyaksikan kerusi Parlimen Nibong Tebal dimenangi Mansor yang ketika itu menggunakan tiket PKR dengan jumlah undi 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) sebanyak 19,578 undi, manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) memperoleh 6,875 undi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI