BAGAN DATUK – Calon Ahli Parlimen Bagan Datuk, Shamsul Iskandar Md. Akin, yakin mampu menjadi ‘giant killer’ menumbangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk.
Keyakinan itu disandarkan kepada sambutan dan sokongan yang diterimanya daripada pengundi di kawasan itu sejak beliau ‘berkampung’ di situ kira-kira dua minggu lalu.
“Insya-Allah (mampu menang), jika rakyat Bagan Datuk memberi peluang untuk diri mereka mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) kali ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang menyandang kerusi parlimen itu selama lima penggal, dicabar oleh Shamsul Iskandar dari Pakatan Harapan (PH); Dr. Muhammad Faiz Na’aman dari Perikatan Nasional (PN) dan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, 71, yang bertanding sebagai calon bebas.
Shamsul Iskandar sebelum ini digelar ‘giant killer’ kerana menumpaskan Tun Mohd. Ali Rustam yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14.
Menurut Shamsul Iskandar, pembaharuan yang dimahukan rakyat boleh dilakukan pada PRU15 dan yakin ramai pengundi di Bagan Datuk sudah bosan dengan penyandangnya yang mempunyai banyak kes di mahkamah.
Sementara itu, Dr. Muhammad Faiz berpendapat, walaupun beliau bertanding sebagai calon bukan pilihan, tetap yakin mampu melakukan kejutan di kawasan itu. – KOSMO! ONLINE