fbpx

Bera menuju ke arah hab pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan Ismail Sabri yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melihat model pembinaan MRSM ATM Bera di Bandar 34, Bera pada 29 April 2018.

BERA – Selain aspek pembangunan ekonomi dan kemajuan masyarakat, daerah Bera di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dilihat bergerak ke hadapan sebagai hab pendidikan dan kemahiran.

Kewujudan GiatMara yang terletak di Bandar 32 di sini dan Kolej Komuniti Bera di Triang antara pusat kemahiran yang mampu merancakkan pembangunan pendidikan di sini.

Malah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM Bera yang dibina atas usaha Ismail Sabri pula telah berjaya merealisasikan hasrat rakyat Bera yang mahu melihat pembangunan demi pembangunan dalam sektor pendidikan dilaksanakan.

Seorang penduduk, Nurbaiti Amat Ismail, 35, dari Felda Mayam berkata, kewujudan kolej kemahiran di daerah itu memberi banyak peluang kepada rakyat di Bera terutamanya mereka yang gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Jika difikirkan semula, kerjaya sekarang adalah lebih menumpukan kepada kemahiran. Oleh itu, GiatMara dan Kolej Komuniti yang menawarkan pelbagai sijil kemahiran sangat bertepatan dengan kehendak pekerjaan pada hari ini.

“Sudah ramai individu yang menerima ilmu di kolej kemahiran itu mempunyai kerjaya yang bagus dan mampu mengubah nasib kehidupan sekeluarga mereka, itu yang penting,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

KOLEJ Komuniti Bera menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira had umur.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Mayam berkata, bagi memastikan daerah Bera terus maju dalam sektor pendidikan, sekurang-kurangnya kerajaan perlu merealisasikan pembinaan universiti yang sekali gus mampu memperhebatkan taraf ekonomi penduduk tempatan.

Menurutnya, apabila Bera dimeriahkan dengan kepelbagaian pusat pengajian, secara tidak langsung akan menarik minat anak-anak untuk berusaha melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih baik.

“Apa yang disediakan hari ini bersesuaian dengan lokaliti daerah ini sendiri, malah ramai anak muda lebih suka mempelajari ilmu kemahiran dan memilih kolej kemahiran seperti GiatMara atau Kolej Komuniti.

“Cuma harapan saya jika ada universiti dibina di daerah Bera, ibu bapa sudah pasti akan memilih yang berdekatan dengan mereka supaya mudah melihat perkembangan anak-anak mereka,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Suriyati Alias, 47, berkata, hanya pendidikan mampu mengubah kehidupan seseorang dan itulah yang kerap dilaungkan Perdana Menteri bagi mengingatkan rakyat Bera mengenai kepentingan pendidikan dalam kehidupan seharian.

Katanya, apabila Bera dimeriahkan dengan kepelbagaian pusat pengajian, secara tidak langsung akan menarik minat anak-anak untuk berusaha melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih baik.

“Apa yang disediakan hari ini bersesuaian dengan lokaliti daerah ini sendiri, malah ramai anak muda lebih suka mempelajari ilmu kemahiran dan memilih kolej kemahiran seperti GiatMara atau Kolej Komuniti,” katanya.

ANTARA pelajar yang mengikuti pendidikan di MRSM ATM Bera.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya, Dr. Ally Rahman Sulaiman berkata, PIBG kerap menerima bantuan dan sumbangan daripada Ismail Sabri untuk melaksanakan pelbagai program pelajar.

“Pembelajaran bukan sekadar di dalam kelas dan sekolah, namun pendedahan pelajar kepada dunia luar dengan memasuki pertandingan atau menyertai program berkaitan sudah pasti memerlukan kewangan mencukupi bagi menampung keperluan mereka.

“Bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar, Perdana Menteri telah menyediakan peruntukan yang besar bagi setiap sekolah di daerah ini.

“Itu memang menjadikan hasrat beliau untuk melihat anak-anak di Bera ini mendapat pendidikan yang selesa dan sempurna,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI