fbpx

Wanita Singapura maut, kereta dipandu kekasih langgar penghadang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta dinaiki mangsa selepas melanggar penghadang jalan di Kilometer 208 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), malam tadi.

ALOR GAJAH – Hasrat sepasang kekasih warga Singapura untuk berhujung minggu bersama di Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam nahas di Kilometer 208 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa Huang Kaiting, 27, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala kekasihnya Muhammad Hilmi Abdul Rahim, 28, luka pada bahagian kaki.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika pasangan itu serta seorang lagi rakan mereka dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

“Setiba di lokasi, kereta jenis Kia Cerato dinaiki telah hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan yang merupakan kekasih kepada pemandu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, seorang lagi penumpang lelaki di bahagian belakang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat kesemua mangsa dikatakan sering ke Kuala Lumpur bersama-sama untuk membeli-belah.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI