LONDON – Pengurus Tottenham Hotspurs, Antonio Conte mula bermain perang psikologi dengan rakan sejawatnya di Liverpool, Jurgen Klopp apabila kembali mengimbau situasi yang berlaku ketika pertemuan kedua-dua pasukan Mei lalu.
Menjelang kunjungan The Reds ke Stadium Tottenham Hotspur tengah malam ini, Conte yang sudah pun berdamai dengan Klopp merasakan Spurs mampu menghadirkan kekecewaan berganda buat Liverpool.
Keputusan seri pada aksi kedua musim lalu mengakibatkan Liverpool terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
“Ya, jika kami ingat beliau (Klopp) tewas dalam perebutan kejuaraan kerana keputusan itu. Saya faham kekecewaannya kerana mereka hilang dua mata berharga, tetapi saya tidak ada masalah dengan apa yang dia katakan kerana setiap jurulatih perlu bercakap bagi kelab.
“Adalah penting bagi setiap jurulatih faham strategi terbaik untuk dapatkan keputusan baik buat pasukan. Saya menonton semula perlawanan itu dan jika ada pilihan pasukan mana yang layak menang, sudah pasti Spurs, bukannya Liverpool.
“Tetapi, saya faham apabila kamu terlepas kejuaraan EPL, kamu akan katakan perkara yang salah tentang pasukan lain. Tetapi, saya tidak ada masalah kerana agak sukar untuk kawal emosi ketika marah,” katanya.
Mengimbau semula kehangatan selepas aksi Mei lalu, Klopp jelas kurang gembira dengan pendekatan dibuat Conte apabila Spurs lebih gemar bermain secara bertahan hingga Liverpool terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.
Bagaimanapun, Conte merasakan Liverpool sepatutnya rasa bangga dengan apa yang sudah dibawa Klopp di Anfield hingga tidak membenarkan Manchester City terlalu selesa dalam perebutan kejuaraan.
“Sejak lima tahun lalu, mereka adalah pencabar terdekat City. Tanpa Liverpool saya fikir City akan jadi seperti Juventus yang memenangi kejuaraan di Itali (memenangi sembilan kejuaraan Serie A berturut-turut),” ujarnya. – AGENSI