BALIK PULAU – Seorang calon bebas bagi kerusi Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad atau lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Abang Din’ yakin kehadirannya di situ mampu menggugat lima lagi calon lain yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang merupakan anak jati Permatang Pasir, Balik Pulau berkata, dia meluahkan keyakinan dirinya untung memenangi kerusi Parlimen yang disandang Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dari Pakatan Harapan (PH).
“Saya yakin boleh menang di sini walaupun baharu pertama kali bertanding sebab saya anak jati Permatang Pasir kerana keluarga, sahabat handai saya semuanya berada di Parlimen ini.
“Saya juga memilih lambang pokok sebagai logo sebab pokok semua orang boleh berteduh,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses pengumuman calon di pekarangan Politeknik Balik Pulau di sini.
Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN),
Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (PN), Ahmad Fazli Mohammad ( GTA) dan seorang lagi calon bebas, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.
Dalam pada itu, Sabaruddin yang berusia 49 tahun memberitahu lagi, beliau tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi-pengundi di Parlimen Balik Pulau sebaliknya mahu memastikan kebajikan penduduk di situ terjaga.
“Saya tidak akan janjikan benda yang saya tidak boleh buat terutama kepada masyarakat, saya hanya tawarkan perkara yang boleh saya buat sahaja. Apabila menang nanti, saya akan sokong kerajaan yang ditubuhkan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi calon bebas, Johnny berkata, dia memilih untuk bertanding selepas mendapat restu daripada ibunya, Chua Baby.
“Keputusan untuk bertanding di Balik Pulau hanya diputuskan pada malam Jumaat selepas ibu saya menyatakan keinginannya untuk melihat saya bertanding di sini.
“Saya ada dua pilihan tetapi memandangkan ratu hati saya meminta saya bertanding di Balik Pulau, maka saya turuti sahaja,” jelasnya. – KOSMO ONLINE