IPOH – Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang berlangsung di pusat beli-belah Angsana Ipoh Mall, di sini dari Jumaat lalu hingga hari ini menampilkan penyertaan 100 usahawan daripada pelbagai bidang, sekali gus merancakkan perniagaan dan sosioekonomi tempatan.
Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA, iaitu LIFE yang menterjemahkan komitmen mereka dalam memperkasakan gaya hidup lestari, selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.
Menurutnya, pihaknya teruja dengan maklum balas positif daripada Keluarga Usahawan yang menyertai Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang telah berlangsung di tiga buah lokasi sebelum ini iaitu Odeon Walk, Kuala Lumpur; Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor.
“Menerusi penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia sebelum ini, sebanyak 442 gerai jualan usahawan telah dibuka dengan penjanaan jualan RM8.9 juta.
“UDA berharap dapat meneruskan pencapaian yang memberangsangkan di karnival ini dan juga yang bakal berlangsung di Serambi Teruntum Kuantan di Pahang pada 2 hingga 4 Disember depan, seterusnya membantu mengembangkan potensi Keluarga Usahawan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia kelmarin.
Pada majlis tersebut, UDA turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat usahawan asnaf tempatan.
Norliza berkata, penganjuran karnival itu diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang selain membuka peluang pekerjaan baharu, seterusnya merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.
Tambahnya, ia turut menjadi platform kepada pengunjung, khususnya usahawan untuk mendapatkan informasi dan meneroka peluang serta insentif bersesuaian di gerai pameran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi di bawahnya.
Antara agensi terlibat ialah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).
“Selain itu, UDA dengan kerjasama organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita), Richworks International Sdn. Bhd. (RichWorks) serta organisasi sokongan seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ninja Van dan KRU turut bersama memvariasikan barisan usahawan serta produk ditawarkan.
“UDA juga mengutamakan keterangkuman dengan menampilkan usahawan orang kelainan upaya (OKU) di karnival ini,” katanya.
Menerusi cabang perniagaan hartanahnya, UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan ‘Sempurna Untuk Semua Generasi’ di semua jelajah Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia.
“Kempen ini adalah usaha UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam karikatur komik yang menggambar karakter Generasi UDA.
“Pelbagai produk dan tawaran istimewa turut disediakan bagi membantu usahawan dan pelabur memiliki produk komersial seterusnya mengembangkan perniagaan mereka,” jelas Norliza.
Sementara itu, seorang pelakon, Aznah Hamid yang menyertai karnival tersebut mengakui acara sedemikian sangat bermanfaat bagi golongan yang baharu mula menceburkan diri dalam dunia perniagaan seperti dirinya.
“Alhamdulillah, karnival sebegini sememangnya bagus kerana peniaga baharu seperti saya berpeluang berkenalan dengan rakan usahawan lain, sekali gus menimba ilmu dari mereka.
“Di karnival ini, saya menawarkan dua jenis produk iaitu minyak wangi yang dijual pada RM38 sebotol serta maruku (RM22 sebalang),” katanya yang turut bercadang untuk menyertai acara sama di Pahang kelak.