LONDON – Arsenal enggan mengambil mudah pertemuan derbi London menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge malam ini.
Perlawanan tersebut dilihat sebagai peluang terbaik buat The Gunners untuk menebus maruah selepas dikritik hebat oleh bekas kapten mereka yang kini menyarung jersi Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang.
“Arsenal, ia bukan peribadi, saya sudah kembali, kini Biru (Chelsea) dan sudah bersedia, Ayuh!” laung Aubameyang dalam iklan televisyen kontroversi menjelang pertemuan hangat tersebut.
Justeru, Pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang dicemuh hebat oleh Aubameyang sebelum ini, mengingatkan para pemainnya agar berwaspada dengan kemampuan bekas penyerangnya itu yang masih memiliki sentuhan berbisa.
“Aubameyang seorang pemain berbahaya. Dia ada keupayaan untuk meletakkan bola di dalam gawang dan dia akan terus melakukannya sehinggalah sudah penat dengan bola sepak.
“Dia adalah antara ancaman buat kami tetapi Chelsea juga mempunyai ramai lagi pemain yang lain. Kami akan merangka perancangan terbaik untuk mengelak daripada tewas,” kata Arteta.
Kemenangan juga akan membolehkan Arsenal terus melebarkan penguasaan mereka sebagai pendahulu EPL sebelum saingan berehat bagi memberi laluan kepada Piala Dunia Qatar 2022 bermula 20 November ini.
Arsenal dijangka membariskan skuad terbaik dengan menurunkan trio berbahaya seperti Gabriel Jesus, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli untuk merobek gawang The Blues malam ini.
Aksi itu juga dilihat mempunyai kepentingan peribadi buat Jesus yang kini kemarau jaringan dalam lapan perlawanan berturut-turut sejak meledak gol ke atas Tottenham Hotspur pada 1 Oktober lalu.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi EPL di Stamford Bridge menyaksikan kemenangan 4-2 buat Arsenal menerusi dua gol Eddie Nketiah dan satu daripada Saka serta Emile Smith Rowe. – AGENSI