PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew menziarahi wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, dan memberi sumbangan serta semangat buat keluarga itu.
Dalam hantaran di Facebook Ebit Lew berkata, melihat keadaan Jahidah yang separuh sedar itu membuatkan beliau rasa sayu ketika melawatnya di Negeri Sembilan hari ini.
“Jahidah koma setahun akibat insiden disyaki mangsa dera suami dan pada masa itu beliau mengandung 6 minggu.
“Kekuasaan Allah, beliau selamat melahirkan anak ketika itu dan kini anaknya Ehsan Nufail berusia 11 bulan. Syukur beliau dijaga adiknya yang baik,” katanya.
Pada masa yang sama, Ebit Lew turut memberi sumbangan kepada Jahidah termasuk beberapa barangan bayi seperti kereta sorong bayi dan kerusi keselamatan kanak-kanak.
“Kasihannya sehingga otaknya dan tulang belakang, tulang rusuk teruk cedera. Mata dah buka tapi belum bercakap dan memberi respon lagi.
“Masa saya berdoa dan bercakap beliau hanya memandang. Allahuakbar beratnya ujianmu seorang ibu. Allah akan tinggikan darjatmu begitu tinggi insya Allah,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021. – KOSMO! ONLINE