KUALA LUMPUR – Komposer dan penyanyi Harry Khalifah mendedahkan ramai lelaki cuba mendekati anaknya Chombi selepas popular dengan lagu Sayunk I Love You.
Malah, Harry atau mesra dipanggil Apak berkata, seorang penyanyi popular juga pernah meminta izin daripadanya untuk berkawan dan meminati anak gadisnya itu.
“Ramai juga yang nak berkenalan dengan dia, ada penyanyi datang jumpa saya beritahu minat dengan Chombi, sampai tak boleh nyanyi kalau ada Chombi.
“Bagi saya dia masih bawah umur. Kalau nak berkawan biasa tiada masalah tapi kalau serius nak melamar itu masih belum sesuai.
“Kalau ikutkan saya bukanlah ayah yang cerewet, kalau dia nak berkahwin awal saya tak halang dan tiada syarat apa pun yang penting baik dan boleh pimpin dia,” ujarnya.
Harry ditemui pada majlis pelancaran lagu Sayunk I Love You di Drum Studio, Seri Hartamas, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Chombi atau nama sebenarnya Siti Maryam, 15, berkata, dia akan memaklumkan kepada bapanya setiap kali menerima mesej peribadi atau didekati mana-mana lelaki.
“Saya akan beritahu ayah atau emak kalau ada orang nak berkawan.
“Selalunya ayah garang sikit kalau bab-bab lelaki, dia akan tanya siapa dan macam-macamlah. Dia selalu ingatkan saya jaga diri dan masih belum sesuai untuk bercinta,” ujarnya.
Sementara itu, bercakap tentang kerjaya nyanyian, Chombi berkata, dia belum ada keyakinan untuk melakukan persembahan pentas bersendirian tanpa ditemani bapanya.
Kata Chombi, dia hanya boleh menyanyi jika bapanya berada di pentas yang sama.
“Saya masih tiada keyakinan diri dan takut nak menyanyi seorang diri atas pentas. Setiap kali menyanyi memang kena ada ayah atas pentas.
“Kalau ada persembahan pun ayah ada bersama, paling tidak pun dia ada di bawah pentas. Saya kena nampak dia baru boleh nyanyi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Chombi meluahkan rasa teruja apabila single keduanya Sayunk I Love You kini mendapat sambutan luar biasa biarpun baru tiga minggu dilancarkan.
Lebih membanggakan, lagu ciptaan bapanya dan lirik oleh Ajim Maze ini sedang menduduki carta trending nombor dua di laman Youtube dan tular di aplikasi TikTok.
“Masa awal lancarkan lagu ini saya rasa kurang yakin dan langsung tak berharap tentang sambutan pendengar.
“Tapi tak sangka pula sekarang dah berjaya menduduki carta teratas di pelbagai platform,” kata Chombi lagi.
Chombi sebelum ini dikenali dengan lagu Rindu-Rindu dan berjaya mendapat hampir 6 juta tontonan di Youtube.
Muzik video Sayunk I Love You kini boleh ditonton di YouTube melalui saluran Padu Records dan boleh didengari di semua platform penstriman digital. – KOSMO! ONLINE