AMPANG – Parlimen Ampang menyaksikan pertembungan sembilan penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Parlimen Ampang, Mohd. Fauzi Mohd. Yatim pada Penamaan Calon Parlimen Ampang di Dewan Dato Ahmad Razali di sini.
Calon-calon tersebut ialah Rodziah Ismail (Pakatan Harapan (PH)), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional (BN)), M. Raveendran (bebas), Datuk Zuraida Kamaruddin (Parti Bangsa Malaysia (PBM)), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan), Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional (PN)), Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos (bebas) dan Tan Hua Meng (bebas).
Pada PRU14 sebelum ini, Zuraida mempertahankan kerusi Parlimen Ampang apabila memperoleh 54,307 undi di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) mengalahkan tiga calon lain.
Ketiga-tiga mereka ialah Leong Kim Soon mewakili BN dengan 12,351 undi, Nurul Islam Mohamed Yusoff (Pas) (9,598) dan Tan Hua Meng (Parti Rakyat Malaysia) (294). – KOSMO! ONLINE