KUALA LUMPUR – Parlimen Pandan menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan calon daripada lima gabungan politik selepas proses penamaan calon selesai pukul 10 pagi ini.
Calon-calon bertanding bagi kerusi Parlimen Pandan diumumkan oleh Pegawai Pengurus (RO) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pandan, Julaihah Jamaludin kira-kira pukul 10.40 pagi.
“Saya telah menyemak kertas penamaan calon dan saya berpuas hati tiada calon yang ditolak,” kata Julaihah.
Proses penyerahan borang pencalonan di Dewan Perbandaran MPAJ dekat sini bermula pada pukul 9 sehingga pukul 10 pagi tadi.
Barisan Nasional (BN) sah diwakili oleh Leong Kok Wee daripada MCA, manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Rafizi Ramli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perikatan Nasional (PN) pula diwakili oleh Muhammad Farique Zubir Albakri daripada Pas, sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) diwakili Tan Sri Ong Tee Keat.
Pejuang Tanah Air (Pejuang) diwakili oleh Nadia Hanafiah. – KOSMO! ONLINE