fbpx

Pengganti ‘dek wan’ ditemui di Para Sukma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD FIZZI yang meletakkan Dek Wan sebagai idolanya berharap satu hari nanti dia mampu mencatat masa terbaik dan layak mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik.

KUALA LUMPUR – Boleh dikatakan Malaysia kini sudah mempunyai pengganti jaguh para olahraga kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai ‘Dek Wan’.

Atlet dari Johor, Ahmad Fizzi Rosni melakukan kejutan pada Para Sukan Malaysia (Sukma) apabila menuai dua pingat emas dalam acara 100 meter (m) Lelaki T35/T36 (Palsi Serebrum) dan 400m Lelaki T35/T36 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN).

Ahmad Fizzi yang meletakkan Dek Wan sebagai idolanya berharap satu hari nanti dia mampu mencatat masa terbaik dan layak mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik.

“Impian saya adalah untuk ke Sukan Paralimpik. Saya tidak ada pekerjaan lain dan saya menjadikan sukan olahraga adalah karier saya pada ketika ini.

“Sebab itu, saya tidak henti melakukan latihan dan berusaha keras sebelum ke Para Sukma. Akhirnya saya berjaya menambah dua pingat emas di Bukit Jalil.

“Apapun, tugas saya di sini masih belum berakhir dan saya sasar untuk melakar hatrik pada Para Sukma 2022 dalam acara 200m Lelaki T35/T36 esok.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah tetapi saya yakin mampu melakukannya dengan cukup baik esok,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Dalam pada itu, atlet berusia 25 tahun itu mengakui kekecewaan empat tahun lalu semasa penampilan sulung edisi Para Sukma Perak 2018, akhirnya terubat apabila menuai emas.

“Saya ingin berterima kasih kepada mak dan ayah kerana sokong saya sampai ke sini, kawan-kawan semua beri sokongan dan cikgu serta jurulatih yang sentiasa mengajar. Sasaran saya adalah Sukan Para Asean Kemboja 2023, saya nak buat terbaik untuk mak dan ayah.”

Pada saingan final 400m hari ini, Ahmad Fizzi menjadi yang terpantas melepasi garisan penamat dengan catatan 60.46 saat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI