PETALING JAYA – Tindakan seorang pelajar menyorokkan telefon bimbit miliknya daripada rakan-rakannya kerana malu gajet berkenaan dalam keadaan uzur dan ketinggalan zaman mengundang sebak ramai.
Video yang dikongsi @nothings___0 di TikTok dengan kapsyen ‘tiada bantuan apa-apa untuk kawan saya, peranti siswa pun gagal keputusannya, aku sebak weh, aku rasa tak berguna jadi kawan’ menarik perhatian individu pemurah.
Rata-rata netizen khususnya mahasiswa menzahirkan rasa sebak dan sedih serta terdapat juga netizen yang mengalami situasi yang hampir sama.
“Alahai kasihannya, memahami sangat perasaan main telefon sorok-sorok sebab telefon kita tidak setanding kawan-kawan, tetapi okey boleh guna, bersyukur, tapi itulah kadang keadaan buat kita rasa rendah diri,” tulis seorang pengguna TikTok.
“Akak menangis dik, bagusnya awak tak pernah mintak dengan ibu bapa nak pakai telefon canggih-canggih, akak doakan awak dipermudahkan segalanya,” komen seorang lagi netizen.
“Jangan risau adik, inshaAllah awak akan dimewahkan rezeki pada masa hadapan kelak, susah-susah dahulu, senang-senang kemudian,” tulis netizen yang lainnya.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang bermurah hati untuk memberi sumbangan dan ingin mendermakan telefon mereka yang sudah tidak digunakan kepada pelajar tersebut.
“Ada buat kutipan derma ke? Anggaplah abang hadiahkan dekat adik tapi kena janji untuk belajar sungguh-sungguh,” tulis seorang netizen.
“Saya ada telefon lebih, kalau berminat boleh mesej dekat TikTok saya, saya baharu tukar telefon tapi telefon itu elok lagi, boleh sangat untuk buat belajar,” komen seorang netizen lagi.
Setakat ini, video tular tersebut telah meraih lebih 600,000 tontonan, 60,400 tanda suka dengan 287 perkongsian dan dihujani dengan pelbagai komen oleh netizen. – KOSMO! ONLINE